Wednesday, August 24, 2011

Aku Dia dan Volvo 244 GL (pertemuan yang terakhir)

6 purnama selepas 1 ramadhan 2002. Petang itu di Restoran Resepi Rahsia, Demi Tuhan sekalian alam aku melihat air mata Dia. Demi Tuhan, Aku tidak mahu dia menangis kerana aku walaupun sekali. Tapi. Aku sudah berkali-kali menangis kerana Dia. Ku kira adil bagi Dia untuk mengalirkan sedikit air mata buat ku.

Aku: ”Saya minta maaf, saya sudah lama syok gila kat Ratna Sari.” Ucap Aku hanya selepas 10 minit ku berusaha mencipta kalimah yang lebih baik dari itu. Tapi. Ya. Itu lah sebaiknya. Tiada perkataan yang lebih betul. Aku angau kerana dia. Jiwa ku kacau kerana Dia. Taqwa ku goyang kerana Dia. Aku pinggirkan syariah kerana Dia. Dia pula buat bodoh tidak mengerti apa-apa kerana tidak mahu buang masa. Kerana dia sudah punya Lelakinya.

Tapi, air mata dia bukan tanda suka atau menerima cinta. Hanya simpati dan buat-buat tak percaya. Sedari dulu, 6 bulan sebelumnya Dia harus mengerti sejelasnya isyarat Aku memburu cintanya. Silapnya aku cuba menggoncangkan setia cintanya kepada Lelakinya. Silapnya aku memandang sepi setianya kepada lelakinya. Silapnya aku begitu memandang rendah mesranya Aku bila sentiasa bersama mesra, bekerja bersama Dia. Teman tapi mesra. Aku silap. Silapnya aku tidak bersedia untuk menerima hakikat dirinya. Silap Aku dan Dia kerana saling tidak menerima. Dia tidak menerima Aku kerana Lelakinya dan Aku bukan pilihannya. Aku tidak menerima nyata realiti dunia. Dia hanya untuk jamahan mata saja. Dia sekadar boleh dipuja dan dipandang saja.

Dia: ”Kenapa encik tak mengaku cinta kepada saya sejak dahulu”. “Kesian encik menanggung derita”

Aku (dalam hati): “Aku kira kau tahu”. “Jantan mana yang tidak diuji imannya, lelaki mana yang tidak naik nafsunya bila memandang dikau wahai Ratna Sari”.

Aku: ”Saya kira mudah saja melupakan Ratna Sari”. ”Biasalah, sudah fitrahnya manusia, perasaan jantan kepada betina”.

Aku: ”Saya menderita jiwa dan raga. Blood pressure pun naik juga. Saya kena buat medical check up kat Pusat Perubatan Universiti Malaya dek kerana tinggi nya tekanan darah saya. Saya asyik mengingati Ratna Sari sahaja sepanjang masa sejak 6 bulan purnama”.

Dia, hanya terus mengalirkan air mata. Bukan kerana cinta tapi simpati sebagai seorang wanita.

Aku (dalam hati): ”Biasalah, jika tidak mengikut syariah”. ”lelaki dan perempuan bukan mahram mesti berjauhan, Jika tidak inilah padahnya, syaitan durjana sedang ketawa”.

Aku:”Saya tidak tahu apa alasan untuk jatuh cinta kepada Ratna Sari, tapi semudahnya saya syok gila kat Ratna Sari” Aku akui sahaja untuk harapan sekelumit simpatinya dan sedikit cintanya.”

Dia: ”lain kali encik mengaku sahajalah jika sudah sayang dan cinta”. Aku lihat air matanya masih menitis. Biarlah. Ia sangat indah nan menambah lagi anggun wajahnya. Ya. Tidak kurang cantiknya walaupun sedang berguguran air mata. Ya. Dia masih nampak cantik. Dia cantik bila tidak bertudung. Dia cantik bila tidak bersolek. Dia cantik bila hanya bertudung ke pejabat. Dia cantik bila ada air mata bergenang di matanya. Maha suci tuhan. Dia menangis tapi tanpa sendu. Dia menangis tapi tanpa esak. Aku yakin tangisan Dia ikhlas sekali. Penuh simpati sebagai manusia, sebagai perempuan biasa yang lembut hatinya. Ya. Ikhlas. Barangkali Dia tidak menyangka bahawa Aku, lelaki yang setinggi paras telinga Dia, menyimpan perasaan bernafsu cinta dan sayang setinggi gunung Fujiyama.

Petang itu, di Restoran Resepi Rahsia Petaling Jaya. Hanya ada lafaz pengakuan dari Aku kepada Dia. Aku perlu berterima kasih kepada kepada Tuhan kerana peluang ini. Meluahkan rasa cinta bukan mudah bagi seorang lelaki. Maklumlah mahu menjaga maruah dan harga diri. Tapi, apa guna ego jika nafsiah diri tercela. Apa guna malu jika risiko untuk kena stroke sentiasa ada. Pasti lelaki tidak mahu celaka kerana mengejar cinta seorang wanita. Lebih baik mati merempit di jalan raya atau syahid memerangi kapitalis Amerika.

Petang itu Aku menyaksikan kecantikan Dia bersama air mata di wajah ”cun” si ratna Sari. Tapi sayang, petang itu kami bukan berdua.Petang itu ada Aku, Dia dan Rakan perempuannya. Pertemuan petang itu juga Volvo kesayangan ku tidak dibawa bersama.

Rakan perempuannya bijak menjernihkan suasana. Tanpa Aku minta Rakan perempuannya berkata ”Sudah takdir yang maha kuasa. Fitrah lelaki dan wanita sentiasa suka sama suka”. Katanya ”Encik perlu terima takdirnya”. Tuhan lebih adil mengatur segala.” Katanya lagi :”Biar masa menyembuhkan segala”. Terima kasih kepada rakan Perempuannya. Jika beliau tiada, tentu setan lebih suka menjadi orang ketiga.

Pengakuan Aku pada petang tidak mengubah apa-apa. Aku. Aku masih suka gila kepada Ratna Sari, Si Dia. Aku masih suka gila kepada Dia. Di Petang itu tidak merubah nafsu ku kepada Dia. Hanya Dia yang bakal berubah. Dia sudah mula ragu dengan ucapan persahabatan dari Aku. Dia berubah agar lebih berhati-hati. Supaya Aku tidak bebas mendekati diri Dia lagi. Sejak petang itu, aku semakin sukar mendekati Dia. SMS dan panggilan telefon sudah semakin dingin. Sempadan kasih telah Dia cipta. Agar aku tidak terlebih suka. Agar aku tidak bertindak di luar batasan manusia. Agar aku mengerti bahawa dia juga di lamun cinta. Agar aku mengerti Dia juga mempunyai perasaan suka kepada Lelaki. Tapi lelaki pilihan Dia. Agar aku memahami kenapa Dia tidak menerima cinta Aku. Agar aku menghormati pilihannya. Agar aku memahami bahawa Dia yang sudah menggadai hati kepada Lelakinya.

Ya, Aku hanya mencuba, bak kata pepatah orang putih ”The Romeo must die but let the love live forever ”. Ya, Aku ada strategi ampuh. Aku cuba mencuri hati Dia. Tapi Tuhan lebih bijak. Romeo pula yang terpijak jeratnya sendiri. Tuhan maha kuasa. Setiap satu kejadian ada hikmahnya.

Petang itu, pertemuan terakhir dua makhluk tuhan yang di takdirkan berjumpa dan seorang sahaja yang bergelodak jiwa. Aku mengiringi Dia dan Rakan perempuannya ke perhentian bas. Menunggu Dia naik ke perut bas Intrakota ke bandaraya Anggerik dan Aku memerhati bas Intrakota bergerak ke bandaraya Shah Alam merentasi lebuhraya persekutuan yang penuh sesak dan seperti sedang berduka. Aku lega di dalam duka. Aku kira ini usaha akhir untuk merebut Dia dari Lelakinya. Mungkin.

Tapi aku masih ada sekeping surat cinta yang Aku karang sekian lama. Berikan saja kepadanya. Mungkin masih ada masa. Ya. Mungkin masih ada masa. Tapi aku rasa Dia semakin jauh, sejauh perjalanan bas Intrakota ke Bandaraya Anggerik. Petang itu baru ku tahu betapa sedapnya lagu kumpulan Visa yang Tajuknya:Dalam Gerimis. Tapi petang itu langit cerah dan tiada gerimis.

Antara liriknya; Buat kali pertama ku melihat airmatanya, sejak ku kenali dia. Sepinya ku rasa di saat berduka inikah nokhtahnya pertemuan kita. Andai begitu suratan takdir, usah lagi kita mungkir bersyukur pada rahmat (tuhan) nya. Kasih berpegang pada hakikat, waktu yang bakal menjawab siapa yang benar.

Kesimpulannya: Aku hanya bertepuk sebelah tangan sahaja, dan bunyi yang Aku dengar adalah setan yang sedang ketawa melihat aku termakan umpannya. Terima kasih Ratna Sari kerana sudi menjengah lubuk hati ku ini walaupun sebentar cuma. Aku bersyukur aku masih ada Volvo 244 GL yang setia.

Petaling Jaya, Tahun 2003.

No comments:

Post a Comment